PENIAGA sayuran, Nor Fadzilah Hasbullah, 46,  menyusun stok sayur yang baru tiba di kedainya di pasar basah Tampoi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENIAGA sayuran, Nor Fadzilah Hasbullah, 46, menyusun stok sayur yang baru tiba di kedainya di pasar basah Tampoi, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) berkuat kuasa 7 hingga 31 Disember ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini selain memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

Katanya, skim ini akan membabitkan kawalan harga ke atas item tertentu seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran.

"Antaranya, ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya) dan ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

"Selain itu telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

"Turut tersenarai kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kobis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing) dan timun," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Nanta berkata, langkah ini diharap berjalan lancar dan membantu menstabilkan harga barang di pasaran.

Pada masa sama, beliau berkata, pengumuman harga bagi barangan yang terbabit akan dilakukan dalam masa terdekat iaitu ayam dan telur akan dilakukan di peringkat ladang, borong dan runcit.

Katanya, bagi sayur-sayuran pula, harga kawalan akan ditentukan di peringkat borong dan runcit.

"Senarai barangan akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.

"Semua pihak di seluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan dan diberi amaran akan tindakan tegas diatas kegagalan mematuhi skim ini dan juga bagi barang keperluan pengguna yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 11:22 PM