FOTO hiasan. FOTO GHAZALI KORI
FOTO hiasan. FOTO GHAZALI KORI
BERNAMA

Putrajaya: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2022 akan dilaksanakan dari 29 Januari hingga 4 Februari, membabitkan enam jenis barangan dari kategori hasil laut, barangan kering dan daging babi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini berkata SHMMP Tahun Baru Cina 2022 itu berkuatkuasa tiga hari sebelum perayaan, semasa hari perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

Beliau berkata senarai barangan terbabit ialah ikan bawal putih berat antara 200 gram (g) hingga 400g seekor; udang putih berat antara 41 ekor hingga 60 ekor sekilogram; bawang putih dari China; babi hidup kawalan di peringkat ladang sahaja; daging babi (perut); dan daging babi (daging dan lemak).

"SHMMP dilaksanakan sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina," katanya dan menambah permintaan terhadap barangan tertentu dijangka meningkat, semasa perayaan berkenaan.

Nanta berkata Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) juga sedang dilaksanakan bermula 1 Januari lalu sehingga 4 Februari, membabitkan 12 jenis barangan seperti ayam, telur ayam dan sayur-sayuran.

Senarai barangan bagi SHMKM adalah ayam hidup; ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya); ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal);

Telur ayam gred A (berat antara 65.0g hingga 69.9g sebiji); telur ayam gred B (berat antara 60.0g hingga 64.9g sebiji); telur ayam gred C (berat antara 55.0g hingga 59.9g sebiji); kacang panjang; cili merah; tomato; sawi hijau; kobis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing); dan timun.

Nanta berkata jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMKM dan SHMMP Tahun Baru Cina 2022 adalah 18 jenis barangan daripada kategori ayam, telur ayam, sayur, barangan kering dan daging babi.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), untuk memastikan keberadaan bekalan di pasaran serta memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian ketika perayaan.

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan sentiasa berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai beli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya, untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan," katanya.

Nanta turut mengingatkan peniaga bahawa, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim tersebut iaitu, menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu, bagi barangan harga terkawal.

Peniaga dan orang ramai boleh menyemak harga bagi barang-barang yang terlibat di bawah SHMMP Tahun Baharu Cina di laman web KPDNHEP, di www.kpdnhep.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 6:41 PM