GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuantan: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang menambah jumlah pegawai dan anggotanya di 554 kawasan yang dikenal pasti berisiko banjir sebagai persediaan menghadapi monsun timur laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Pengarahnya Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, untuk tahun ini, seramai 890 orang akan ditugaskan di semua lokasi terbabit berbanding 600 orang pada tahun lalu, dengan semua mereka perlu mengikuti latihan semula untuk mengasah semula kemahiran.

"Antara yang dijalankan ialah latihan keyakinan dalam air selain pemeriksaan terhadap aset darat dan air mula dilakukan supaya semuanya siap siaga bagi memastikan tugasan menyelamat berjalan lancar," katanya selepas menghadiri Latihan Kesiapsiagaan Menghadapi MTL, di sini, hari ini.

Che Adam berkata, setakat ini, sebanyak 81 unit bot, pacuan empat roda (12), ambulan (15) dan sebuah bas diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi banjir di Pahang.

APM juga melaksanakan program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) membabitkan asas teknik menyelamat serta tindakan awal perlu dilakukan kepada orang ramai sementara menunggu kedatangan pasukan penyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 4:30 PM