Awang (dua dari kanan) berbincang sesuatu bersama Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamed Che Husain (kiri). FOTO BERNAMA
Awang (dua dari kanan) berbincang sesuatu bersama Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamed Che Husain (kiri). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Baling: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah melaksanakan pendekatan memberikan latihan kemahiran menyelamat kepada komuniti Kampung Iboi dekat sini dalam usaha memastikan penduduk bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir semasa fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL) nanti.

Pengarah APM Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub berkata latihan asas berkaitan menyelamat di air termasuk meningkatkan keyakinan berada di dalam air dan pengendalian bot itu akan dibuat dalam tempoh terdekat.

"Komuniti di sini meminta supaya kita mengadakan latihan water confident (keyakinan ketika berada dalam air), menyelamat di air dan pengendalian bot. Latihan asas kita buat ini supaya komuniti di kampung ini (Kampung Iboi) boleh membuat bantuan awal dengan kemahiran yang ada," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas membuat tinjauan di Kampung Iboi serta berjumpa Ketua Kampung itu Nor Mohamad Che Husain bagi membincangkan persediaan awal pihak penduduk kampung itu dengan kerjasama APM Kedah bagi menghadapi banjir berikutan MTL diramalkan berlaku bermula November ini sehingga menjelang Mac tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Awang Askandar berkata pihaknya akan menempatkan aset seperti sebuah bot gentian, enjin, jaket keselamatan dan pendayung dengan bantuan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Al-Najah dari Alor Setar yang akan menyediakan aset itu bagi kegunaan penduduk sekitar Kampung Iboi.

"Makluman kami terima semasa kejadian banjir lepas, penduduk tidak dapat nak membantu menyelamatkan mereka terjejas (banjir) sebab tak ada bot, enjin, pendayung, jaket keselamatan…selepas ini mereka boleh membuat bantuan awal dengan peralatan operasi yang ada ini...CDERT Al-Najah juga sudi menjadikan Kampung Iboi sebagai kampung angkat," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan melatih komuniti di Kampung Iboi untuk mewujudkan CDERT bagi mereka bertindak awal menguruskan bencana terutamanya banjir di kawasan kampung berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 5:40 PM