GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Tindakan seorang mekanik menyamar sebagai polis sebelum menyamun wang RM20 dan telefon bimbit milik remaja lelaki di Taman Putra, di sini, mengundang padah apabila diberkas polis, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi semalam, mangsa berusia 16 tahun bersama rakannya dalam perjalanan pulang dari Bukit Ampang dengan menunggang motosikal, sebelum ditahan tiga lelaki.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa memaklumkan tiga lelaki menunggang dua motosikal itu memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis.

"Suspek kemudian memberitahu mangsa bahawa laluan berkenaan tidak boleh dilalui sebelum remaja terbabit dan rakan-rakannya beredar dari lokasi itu.

"Semasa mangsa berada di persimpangan lampu isyarat di Taman Putra, dia menyedari ketiga-tiga lelaki (suspek) terbabit sedang mengejar mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, mangsa dan rakan-rakannya cuba melarikan diri, namun suspek berjaya menahan motosikal remaja itu.

"Salah seorang suspek kemudian mengambil wang tunai RM20 dan telefon bimbit milik mangsa.

"Malah, suspek juga mengambil gambar kad pengenalan remaja itu sebelum dia dibenarkan balik dan terus ke balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya menahan seorang suspek berusia 33 tahun kira-kira 1 pagi di Kampung Sungai Takali, Hulu Langat.

"Dalam tangkapan itu, kami merampas telefon bimbit milik mangsa yang disamun serta telefon bimbit milik suspek yang mengandungi gambar kad pengenalan milik remaja berkenaan.

"Selain itu, kami turut merampas pakaian, topi keledar dan motosikal yang digunakan oleh suspek semasa kejadian di kediamannya yang terletak di kawasan perumahan berhampiran," katanya.

Katanya, semakan dilakukan terhadap suspek yang bekerja sebagai mekanik itu mendapati dia mempunyai lima rekod jenayah dan satu rekod kesalahan dadah.

"Hasil ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah jenis methaphetamin dan benzo.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 14 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan dan menyamar sebagai penjawat awam.

"Kami sedang mengesan dua lagi rakan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 5:23 PM