Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Dua rakan berdepan detik cemas apabila disamun dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis hingga menyebabkan mereka kerugian RM3,020 di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa masing-masing wanita berusia 23 tahun dan rakan lelakinya berusia 27 tahun sedang berehat dalam bilik ketika kejadian pada 2.30 petang itu.

Menurutnya, mangsa mendakwa didatangi dua lelaki memakai pakaian preman dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis tanpa menunjukkan pengenalan diri.

"Lelaki itu memarahi dan menengking mangsa menyebabkannya ketakutan. Suspek juga menyatakan pengadu mempunyai rekod dikehendaki dan perlu dibawa ke balai.

"Suspek kemudiannya bertindak mengambil dompet dan telefon bimbit milik kedua-dua mangsa menyebabkan kerugian RM3,020.

"Suspek keluar dari rumah dan menyatakan mahu memanggil anggota polis peronda sebelum bertindak melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan berjaya mengesan dan menahan seorang suspek berusia 54 tahun di daerah ini pada 5 petang semalam.

Mohamad Farouk berkata, pemeriksaan terhadap suspek yang tidak bekerja itu menemui dua telefon bimbit dipercayai milik seorang daripada mangsa.

Beliau berkata, semakan juga mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kes pemerasan dan mendatangkan kecederaan serta satu rekod dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 kanun yang sama dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 9:07 PM