FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun mangsa, itu onar dilakukan tiga lelaki melakukan kegiatan jenayah di sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, helah itu terbongkar selepas polis menahan tiga lelaki berkenaan dalam dua serbuan berasingan di Taman Melawati, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Taman Melawati menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di Jalan Taman Melawati, pada 10.30 malam, dipercayai terbabit dengan kegiatan samun.

"Dalam serbuan itu, kami merampas satu beg silang, empat telefon bimbit dan sebuah motosikal Yamaha LC135 warna merah dan hitam.

"Hasil tangkapan itu, kami menahan dua lagi suspek yang juga rakan suspek pertama masing-masing berusia 24 dan 45 tahun di lokasi sama selepas disyaki turut terbabit dalam kegiatan berkenaan.

"Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu adalah satu jaket hitam, satu beg silang, satu dompet, dua telefon bimbit, satu kereta Proton Perdana serta wang tunai berjumlah RM1,060," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, modus operandi suspek adalah mencari mangsa yang lemah, berbadan kecil dan bersendirian.

"Suspek akan menahan mangsa dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan seorang daripada mereka (suspek) memeriksa mangsa, manakala seorang lagi suspek akan merampas barang milik mangsa sebelum melarikan diri.

"Kebiasaannya suspek akan bergiat aktif melakukan kegiatan itu selepas 8 malam dengan hanya berpakaian awam (biasa) ketika melakukan jenayah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek yang juga penganggur mempunyai rekod jenayah berkaitan kes dadah, jenayah samun serta merusuh.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan positif dadah amphetamine.

"Dengan penahanan tiga suspek berkenaan, kami berjaya menyelesaikan tiga kes samun dipercayai didalangi mereka di daerah ini," katanya.

Katanya, tiga suspek terbabit direman sehingga 21 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan polis giat mengesan rakan sejenayah suspek yang masih bebas.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan samun jalanan di sekitar Taman Melawati diminta tampil ke balai berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 10:37 PM