GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Kementerian Pertahanan akan perincikan peruntukan RM17.37 bilion diterima untuk Bajet 2023 yang memfokuskan empat teras utama.

Empat fokus berkenaan ialah pembelian aset baharu, penyelenggaraan aset sedia ada, pembelaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menambah baik kebajikan warga pertahanan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, peruntukan Bajet 2023 untuk kementerian itu meningkat RM1.23 bilion atau 7.8 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, RM11.41 bilion untuk Perbelanjaan Pengurusan (OE) iaitu meningkat 2.7 peratus dan RM5.96 bilion Perbelanjaan Pembangunan (DE) iaitu meningkat 18.3 peratus.

"Kementerian Pertahanan dan ATM menyambut baik peruntukan yang diumumkan, namun dalam memelihara kedaulatan tanah air dan membela kebajikan warga pertahanan, kementerian sentiasa memerlukan lebih fokus serta peruntukan bagi melaksanakan pelbagai perancangan.

"Insya-Allah kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM akan berusaha sedaya upaya supaya peruntukan Bajet 2023 dimanfaatkan dengan telus, berhemah serta berintegriti demi kepentingan tanah air tercinta," katanya dalam kenyataan media pada Karnival Tentera Darat 2022 di Taman Seri Lambak di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antara fokus utama ialah melaksanakan perolehan beberapa jenis aset strategik antaranya Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan Medium Altitude Long Endurance- Unmanned Ariel System (MALE-UAS).

"Perolehan kesemua aset ini telah dilaksanakan secara tender terbuka antarabangsa bagi memastikan perolehan ini dilaksanakan secara telus dan terbuka," katanya.

Beliau berkata, untuk perolehan dua MPA, kerajaan bersetuju dengan tawaran daripada syarikat Leonado.

"Manakala bagi perolehan tiga unit MALE-UAS, kerajaan telah memutuskan untuk berkontrak dengan syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI)," katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan keupayaan Tentera Darat Malaysia (TDM), Kementerian Pertahanan akan melaksanakan perolehan kenderaan jenis A pacuan empat roda sebanyak 136 unit dan kenderaan jenis B pelbagai unit dengan nilai perolehan sebanyak RM2.049 bilion.

Katanya, sebanyak RM590.56 juta diperuntukkan bagi membina dan menyelenggara Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT).

"Daripada jumlah ini, RM118 juta diperuntukkan khusus untuk selenggaraan RKMAT dan RM472.70 juta lagi untuk tujuan bina baharu RKMAT termasuk di Pangkalan Udara Butterworth," katanya.

Beliau berkata, kementerian itu diperuntukkan RM47 juta bagi tujuan melaksanakan perolehan dua unit tambahan Hospital Medan sebagai persediaan mendepani bencana termasuk banjir.

"Ini tidak termasuk 50 unit ambulans baharu yang akan ditempatkan di beberapa kem ATM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 4:09 PM