Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal memiliki tujuh aset terkini bagi meningkatkan keupayaan sistem pertahanan udara negara yang dijangka dapat beroperasi seawal 2024.

Panglimanya, Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman berkata, perolehan beberapa aset terbaharu itu selaras misi membangunkan keupayaan hadapan pasukan berkenaan.

Menurutnya, TUDM sedang membuat perolehan secara berperingkat pesawat tempur ringan dwi fungsi 'Fighter-Lead-In-Trainer/Light Combat Aircraft' (FLIT-LCA) yang akan mula beroperasi pada 2024.

"Keupayaan pertahanan udara juga akan dipertingkatkan dengan pelan perolehan tiga Sistem Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh (LORAD) melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"TUDM juga sedang dalam proses perolehan beberapa aset lain iaitu sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) Medium Altitude Long Endurance (MALE-UAS) yang dijangka akan mula beroperasi pada 2024/2025," katanya pada sidang media selepas menyampaikan perintah ulung sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.

Mohd Asghar berkata, selain MALE-UAS, TUDM juga kini dalam proses perolehan pesawat peronda maritim (MPA) yang dijangka akan dapat beroperasi pada 2025.

"Bagi pesawat UAS, kini ia di peringkat penilaian fizikal yang sudah disenarai pendek oleh Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan dan proses ini masih berjalan.

"Perolehan MPA masih di peringkat Kementerian Kewangan dan ada beberapa calon (syarikat pesawat) yang sudah disenaraikan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, perolehan lain satu sistem radar pertahanan udara yang bakal diterima pada 2024 melalui jalinan diplomasi pertahanan bilateral dengan negara lain.

"Perolehan seterusnya adalah melalui program RMK-13 bagi melengkapkan keseluruhan sembilan radar yang diperlukan.

"TUDM juga merancang sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) mulai dari RMK-12 sehingga ke RMK-15 bagi meningkatkan keupayaan dalam mencegah sebarang bentuk ancaman udara," katanya.

Katanya, bagi penggantian pesawat helikopter utiliti, proses perolehan dijangka berlaku seawal tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 1:03 PM
Panglima Tentera Udara (PTU), Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan bercakap ketika sidang media selepas menyampaikan perintah ulung sebagai PTU ke 20 di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH
Panglima Tentera Udara (PTU), Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan bercakap ketika sidang media selepas menyampaikan perintah ulung sebagai PTU ke 20 di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur. FOTO ASYRAF HAMZAH