DATUK Seri Hishammuddin Hussein, pada sidang pada Majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
DATUK Seri Hishammuddin Hussein, pada sidang pada Majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut baik peruntukan RM16.14 bilion dalam pembentangan Bajet 2022, semalam, yang disifatkan inklusif dan menyeluruh.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, peruntukan itu amat bermakna kerana ia jumlah tertinggi diterima kementeriannya sejak Rancangan Malaysia ke-9.

Katanya, secara keseluruhannya, peruntukkan itu meningkat kira-kira 1.78 peratus berbanding tahun lalu dengan RM11.1 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pengurusan dan RM5.04 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pembangunan.

"Peruntukan ini bukan sahaja membolehkan kementerian meneruskan pelaksanaan inisiatif dan projek sedia ada, malah meningkatkan lagi agenda di bawah Teras-Teras Utama Kementerian Pertahanan.

"Perolehan aset baharu ada tetapi bagi saya, saya sudah meletakkan keutamaan, terutama kepada penyelenggaraan aset sedia ada," katanya pada sidang selepas Majlis Penyerahan Projek Jiwa Murni di Kampung Sri Tambak, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Zamrose Mohd. Zain.

Beliau berkata, soal kebajikan warga ATM termasuk kenaikan gaji, elaun dan kediaman juga tetap menjadi keutamaan.

"Sebenarnya dari segi perkakasan, peralatan mencukupi, cuma kebajikan untuk pastikan moral mereka tinggi, itu mesti diberikan tumpuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 3:31 PM