PAPAN tanda Hutan Simpan Kekal Gunung Raya, Langkawi. FOTO Eizairi Shamsudin
PAPAN tanda Hutan Simpan Kekal Gunung Raya, Langkawi. FOTO Eizairi Shamsudin
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Projek Improving Connectivity: Central Forest Spine (IC-CFS) yang dibangunkan kerajaan bagi pemuliharaan biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem akan diselaraskan semula mengikut strategi baharu serta perancangan terperinci tahun ini.

Projek dengan kerjasama Global Environment Facility (GEF) dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) sebelum ini menumpukan penguatkuasaan jenayah hidupan liar dan perhutanan yang mengancam biodiversiti termasuk Harimau Malaya dengan pewartaan 23,734.63 hektar kawasan hutan kritikal sebagai Hutan Simpanan Kekal di tiga negeri.

Pengarah Projek Nasional IC-CFS Datuk Zahari Ibrahim berkata, penambahan kawasan pewartaan sedang dalam perbincangan manakala pembangunan alat pemantauan biodiversiti dan penyediaan perkhidmatan ekosistem termasuk stok karbon akan digunakan di negeri terpilih berserta Pelan Pengurusan Koridor Ekologi di Perak serta Pahang.

"Sasaran utama tahun ini adalah pembangunan Pelan Pembiayaan Mampan di Pahang untuk mengenal pasti sumber pendapatan baharu daripada perkhidmatan ekosistem hutan yang mampu meningkatkan pendapatan negeri di samping melindungi sumber hutan serta biodiversiti dengan lebih baik.

"Hutan boleh diurus secara berkekalan bagi meningkatkan perlindungan ekologinya dan biodiversiti sambil mengekalkan ekonomi serta sumber pencarian. Ini dapat dilihat melalui Projek IC-CFS dalam menurunkan jenayah hidupan liar dan perhutanan; perlindungan dan perluasan ekosistem hutan; program pemeliharaan dan pemulihan hutan; serta pembangunan pelan pembiayaan bagi setiap negeri.

"Perancangan pengurusan ini memberi manfaat kepada habitat serta menggalakkan penyerapan karbon, selaras pendirian Malaysia semasa Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP 26) bagi menyokong pengurangan gas rumah hijau (GHG) menjelang 2050," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, banyak perancangan bersepadu akan dilaksanakan bersama agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan); Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia serta Jabatan Perhutanan Perak, Pahang dan Johor.

Berikutan kejayaan Jabatan Perhutanan Perak dan Perhilitan dalam melaksanakan penggunaan Sistem Rondaan Spatial Monitoring and Reporting Tool (SMART) pada tahun lalu, Zahari berkata, jabatan itu dan Jabatan Perhutanan Johor akan melengkapkan latihan serta kerja lapangan tahun ini sebelum menggunakan alat berkenaan sepenuhnya dalam aktiviti pemantauan hutan.

"Usaha pemantauan akan diperkukuhkan lagi melalui pemerkasaan pegawai perhutanan dan taman negeri terpilih di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Ini akan mempertingkatkan kapasiti pegawai penguatkuasa untuk bertindak luar bidang kuasa semasa mereka yang membabitkan jenayah hidupan liar," katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek IC-CFS Dr Samsudin Musa berkata, penguatkuasaan berasaskan komuniti dibangunkan melalui Renjer Komuniti Tempatan (LCR) yang diupah dan dilatih bagi menjalankan pemantauan hidupan liar, dalam usaha mencegah pemburuan haram yang menimbulkan ancaman serius.

Menurutnya, bagi memastikan kesinambungan program itu, LCR akan menjadi sebahagian daripada program Veteran Angkatan Tentera dan Orang Asli (VetOA) di bawah seliaan Perhilitan.

"Melalui komitmen jangka panjang oleh GEF dan sokongan daripada UNDP dengan nilai sehingga RM8 juta bagi Projek IC-CFS tahun ini, ia membolehkan projek ini mengembangkan lagi usaha pemuliharaan dan pemeliharaan landskap CFS seperti disasarkan melalui teras kedua Rancangan Fizikal Negara Ke-3 yang memfokuskan aspek alam sekitar, guna tanah serta infrastruktur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 5:41 PM