PENYERAHAN replika cek Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Peringkat Negeri Johor berjumlah RM260,000 kepada Wan Assim bin Wan Sheikh, Timbalan Pengarah KEMAS Negeri Johor.
PENYERAHAN replika cek Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Peringkat Negeri Johor berjumlah RM260,000 kepada Wan Assim bin Wan Sheikh, Timbalan Pengarah KEMAS Negeri Johor.
Suliati Asri


Parit Sulong: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedar dan cakna bahawa tidak semua mereka yang melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) datang dari keluarga yang senang.

Menteri Pengajian Tinggi Dr Noraini Ahmad berkata, KPT prihatin dengan isu serta permasalahan dihadapi mahasiswa dan bakal mahasiswa.

Oleh itu, menurutnya KPT melalui agensi di bawahnya menawarkan pelbagai bantuan kepada penuntut yang memerlukan.

"Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) misalnya, sebagai agensi yang sentiasa berusaha menjaga kebajikan penuntut dan keluarga, khususnya peminjam tabung pendidikannya turut menyediakan pelbagai inisiatif untuk manfaat pelajar.

"Hari ini, PTPTN memberikan Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin kepada 38 penuntut dari kawasan Parlimen Parit Sulong yang mengikuti pengajian di IPT seluruh negara.

"Bantuan dengan peruntukan RM19,000 bertujuan membantu penuntut kurang berkemampuan untuk menampung kos sara hidup di IPT.

"Menerusi bantuan ini, setiap penuntut menerima RM500 secara one-off terus ke dalam akaun bank penuntut," katanya ketika berucap pada majlis Program Pembangunan Mahasiswa dan Sesi Ramah Mesrah Bersama Menteri KPT di Dewan Sultan Ibrahim (DSI) Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Jabatan Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Husaini Omar, Naib Canselor UTHM Prof Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim, Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS) Datin Maizatul Akmam Alawi dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Selain itu, Noraini berkata, turut disediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada penuntut baharu berjaya melanjutkan pengajian di IPTA dan Politeknik.

PENERIMA WPP bersama Dr Noraini (belakang, empat dari kiri) dan Ahmad Dasuki (belakang, tiga dari kiri).
PENERIMA WPP bersama Dr Noraini (belakang, empat dari kiri) dan Ahmad Dasuki (belakang, tiga dari kiri).

Katanya, WPP itu antara usaha PTPTN memastikan tiada penuntut gagal memasuki IPT disebabkan masalah kewangan.

"Bagi kemasukan penuntut peringkat ijazah ke IPTA dan Politeknik Sesi Oktober 2022 ini, 28,278 penuntut ditawar WPP membabitkan peruntukan RM42.4 juta.

"Di Johor sahaja, 3,520 penuntut ditawar WPP dengan peruntukan RM5.28 juta.

"Untuk Parlimen Parit Sulong, 108 penuntut yang dikenal pasti mendapat tawaran WPP dengan peruntukan RM162,000.

"Dengan pemberian WPP, ia membolehkan penuntut membuat persiapan awal seperti membeli pakaian, peralatan untuk pembelajaran sebagai kos pengangkutan dan juga untuk membayar sebahagian yuran pengajian," katanya.

Namun surat tawaran WPP itu mempunyai tempoh sah laku dua bulan.

"Justeru, bagi tawaran WPP disampaikan hari ini (semalam), tempoh sah lakunya bermula dari 5 Oktober hingga 5 Disember 2022.

"Dalam tempoh ini, penuntut yang mendapat surat tawaran WPP boleh menunaikannya di mana-mana kaunter Bank Islam dengan membawa surat tawaran dan tunjuk MyKad untuk pengesahan diri," katanya.

PENYERAHAN replika kad berjumlah RM500 oleh Dr Noraini kepada penerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin.
PENYERAHAN replika kad berjumlah RM500 oleh Dr Noraini kepada penerima Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin.

Dalam pada itu, Noraini turut mempromosikan Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 iaitu program membabitkan sumbangan zakat PTPTN kepada 17,800 pelajar asnaf di 178 kawasan terpilih di 12 buah negeri.

Katanya, sumbangan diberi dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime membabitkan peruntukan keseluruhan RM1.78 juta.

"Secara umumnya, program ini bertujuan untuk membantu pelajar asnaf dari aspek pendidikan.

"Pada masa sama, ia juga galakan awal untuk memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak Keluarga Malaysia," katanya.

Noraini berkata, Program Kembara Keluarga Simpan SSPN Tahun 2022 Peringkat Negeri Johor dengan peruntukan RM260,000 membabitkan 26 kawasan dan setiap kawasan bakal menerima RM10,000.

DR Noraini  menyampaikan replika kad Simpan SSPN Prime kepada murid KEMAS sebagai penerima Program Kembara Keluarga Simpan SSPN.
DR Noraini menyampaikan replika kad Simpan SSPN Prime kepada murid KEMAS sebagai penerima Program Kembara Keluarga Simpan SSPN.

"Di setiap kawasan ini, 100 pelajar asnaf menerima sumbangan akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM100 seorang.

"Oleh itu, saya ucap terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan pemimpin setempat yang banyak membantu KPT dan PTPTN untuk mengenal pasti pelajar asnaf yang layak," katanya.

"Tahniah diucapkan kepada semua mahasiswa yang berjaya menempatkan diri di IPT.

"Begitu juga kepada ibu bapa dan penjaga yang tidak jemu memastikan anak cemerlang dalam pelajaran.

"Semoga dengan sumbangan diberikan dapat membantu meringankan beban keluarga, seterusnya menyuntik semangat anak untuk berjaya serta membanggakan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 7:30 AM