GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM123,000 untuk disalurkan kepada 246 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang kurang berkemampuan di seluruh negara.

Bantuan berkenaan salah satu inisiatif disediakan perbadanan itu menerusiprogram Bantuan Pengajian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) - PTPTN Prihatin.

PTPTN dalam kenyataan, hari ini berkata program diadakan untuk menyalurkan bantuan sara hidup kepada peminjam PTPTN yang kurang berkemampuan di IPT dan meringankan beban kewangan mereka.

"Setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM500 secara one off (sekali bayar) dan akan disalurkan ke dalam akaun bank pelajar.

"Bagi memastikan pelaksanaan program ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan menepati kumpulan sasaran ditetapkan, PTPTN mengadakan kerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dan IPT terbabit," katanya.

Dalam pada itu, katanya majlis penyampaian Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin diadakan bermula 8 Oktober lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas di Kuala Terengganu, Terengganu dan seterusnya kawasan lain.

Penyampaian bantuan disempurnakan Pengerusi PTPTN, Dr Apli Yusoff bersama Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Pengurus Besar PTPTN Terengganu, Azizah Nasik@Abd Rashid.

Apli dipetik berkata, program berimpak tinggi oleh PTPTN ini membolehkan masyarakat terus mendapat bantuan sewajarnya dalam usaha meningkatkan akses pendidikan tanpa mengira kaum dan latar belakang,

"Saya berharap sumbangan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar di IPT.

"Jadikan bantuan ini sebagai pendorong untuk berusaha bersungguh-sungguh dan fokus kepada pembelajaran bagi mencapai keputusan yang cemerlang, sekali gus mendapat pekerjaan yang baik serta mampu mengubah nasib keluarga untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Beliau berkata, inisiatif Program Bantuan Pengajian KPT-PTPTN Prihatin ini diharap akan memberikan impak positif dan manfaat kepada para pelajar seterusnya membina lebih ramai graduan cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 1:56 PM