SUSPEK dipercayai penjaga gudang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
SUSPEK dipercayai penjaga gudang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai hampir RM8 juta tumpas dalam serbuan di tiga lokasi di Sandakan, kelmarin.

Serbuan menerusi Op Kontraban oleh pasukan Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Bukit Aman, Petugas Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Turut ditahan adalah tiga lelaki tempatan berusia 29, 37 dan 45 tahun.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, serbuan ke atas dua gudang dan sebuah rumah yang menemukan rokok pelbagai jenama dianggarkan RM5,950,740.09.

"Pasukan serbuan merampas minuman keras, juga tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan RM1,714,437.

"Hasil serbuan itu juga merampas dua van dan sebuah lori dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan berkenaan, dengan jumlah keseluruhan rampasan adalah RM7,915,177.45," katanya hari ini.

Idris berkata, siasatan mendapati tiga suspek yang ditahan adalah penjaga premis dan pemandu, yang dipercayai aktif dengan kegiatan penyeludupan berkenaan.

Katanya, rampasan dan tahanan diserahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyem 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 3:07 PM