Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Polis menumpaskan dua sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok tidak bercukai membabitkan nilai rampasan RM23.7 juta selain menahan tiga lelaki yang berperanan sebagai transporter (penghantar) dalam Op Kontraban, semalam.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih di Shah Alam dan Klang, hasil risikan sejak dua bulan lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, serbuan pertama jam 6 pagi menahan dua lelaki berusia 29 dan 35 tahun yang memandu dua lori kontena di Jalan Tamborin, Seksyen 33, Shah Alam.

"Hasil pemeriksaan menemui 87,150 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM7,784,900 dengan nilai cukai sebanyak RM12,282,290. Polis turut merampas kenderaan berkenaan dan telefon bimbit.

"Suspek mengaku pernah membawa kontena lain sebelum ini membolehkan polis mengesan satu lagi sindiket penyeludupan minuman keras lalu menyerbu sebuah premis di Kapar, Klang Utara pada jam 8.30 pagi.

"Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 1,295 kotak arak tidak bercukai disembunyikan dalam sebuah kontena yang dianggarkan bernilai RM1,480,277 dengan nilai cukai sebanyak RM1,971,855.97," katanya dalam sidang media di Batalion 4 PGA Semenyih di sini, hari ini.

Zainal berkata, soal siasat dilakukan ketiga-tiga suspek mengaku bertindak sebagai penghantar bebas dengan bayaran antara RM100 hingga RM300 bagi sekali penghantaran mengikut kawasan.

Bagaimanapun, katanya, suspek mendakwa tidak mengetahui barangan yang dihantar selain tidak mengenali dalang sindiket berkenaan.

Ditanya mengenai taktik sindiket itu menyeludup masuk barangan tidak bercukai itu, beliau berkata ia dibawa masuk melalui kawasan pelabuhan sebelum dihantar penghantar ke lokasi tertentu yang diarahkan sindiket.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pembabitan 'orang dalam' berkait rantaian sindiket penyeludupan berkenaan namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan kakitangan awam terbabit.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan IPD Klang Utara untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Zainal berkata, aktiviti penyeludupan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kutipan cukai antara RM5 hingga RM6 bilion setahun.

Berikutan itu, beliau berkata, Op Kontraban dilancarkan bagi membanteras kegiatan jenayah penyeludupan terutama rokok dan minuman keras yang mengancam ekonomi negara.

ZAINAL menunjukkan kontena yang dirampas menerusi Op Kontraban. FOTO Zulfadli Zulkifli
ZAINAL menunjukkan kontena yang dirampas menerusi Op Kontraban. FOTO Zulfadli Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 11:59 AM