Ahmad Hasbi


Seremban: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini memberi tempoh sebulan buat pengikut Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) untuk melantik peguam bagi meneruskan pertuduhan ke atasnya.

Hakim Kamal Bashah Ahmad Tajuddin memberikan tempoh itu kepada Jamaluddin Maidin Syed, 46, yang didakwa melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran Hizbut Tahrir.

Prosiding hari ini sepatutnya meneruskan pertuduhan ke atas lelaki itu mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, namun pertuduhan tidak dibacakan dan Jamaluddin memaklumkan akan melantik peguam, selain membantah bon jaminan yang ditawarkan kepadanya sebelum ini

Kamal Bashah mengarahkan Jamaluddin menyatakan ketidakpuasan hati itu melalui peguam lantikan dan berhubung dengan pihak pendakwaan untuk disebut dalam prosiding akan datang.

Beliau kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 23 November depan.

Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili Pendakwa Syarie, Suhaizad Saifuddin.

Pada Oktober tahun lalu, media melaporkan penahanan seorang anggota HTM oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) kerana disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran Hizbut Tahrir.

JAMALUDDIN Maidin Syed hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan hari ini. FOTO Ahmad Hasbi.
JAMALUDDIN Maidin Syed hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan hari ini. FOTO Ahmad Hasbi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 12:39 PM