Foto hiasan
Foto hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengesahkan membuat penahanan terhadap seorang anggota Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di pejabat penguat kuasa jabatan itu di sini, pagi hari ini.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan pada 2.30 pagi ketika hadir bagi memberi keterangan kerana disyaki melanggar fatwa Negeri Sembilan yang mengharamkan ajaran Hizbur Tahrir.

Menurutnya, turut ditahan adalah isteri lelaki terbabit yang berusia 46 tahun serta anak perempuannya berusia 22 tahun di rumah mereka di Taman Bandar Seremban Selatan di sini.

"Penahanan mereka dibuat mengikut prosedur dan ia tidak timbul sebarang isu.

"Sebelum kami membuat pemeriksaan di rumahnya, kami tunjukkan waran geledah dari mahkamah kepada isterinya terlebih dahulu kerana ketika itu lelaki terbabit tiada di rumah.

"Berkenaan dakwaan yang tangkapan dibuat tanpa waran, ia tidak timbul kerana kesalahan yang disiasat mengikut Seksyen 50 Enakmen Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, tidak memerlukan waran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, selepas pemeriksaan dilakukan, isteri lelaki itu dan anaknya dibawa ke Pejabat Penguat Kuasa JHEAINS untuk siasatan lanjut, manakala lelaki berkenaan ditahan ketika hadir ke pejabat bagi memberi keterangan.

Menurutnya, beberapa barang turut dirampas untuk siasatan dan digunakan di mahkamah ketika perbicaraan.

"Hari ini, Mahkamah Syariah membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin," katanya.

Sementara itu, Pengarah JHEAINS Datuk Mohd Zaidi Ramli ketika dihubungi turut mengesahkan mengenai perkara itu dan memaklumkan penguatkuasaan yang dilakukan pihaknya mengikut Enakmen Tatacara Jenayah dan bukannya secara semberono.

Polis sebelum ini membuka kertas siasatan terhadap HTM selepas menerima laporan terhadap fahaman yang difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu.

Siasatan terperinci dilakukan pihak polis susulan doktrin fahaman kumpulan itu termasuk menolak demokrasi selain melabel kerajaan sebagai kafir dan wajib diguling dengan kekerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 8:26 PM