Tosrin Jarvanthi.
Tosrin Jarvanthi.
Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan pendokong fahaman Hizbut Tahrir berikutan ia sudah difatwakan bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, susulan kehadiran kumpulan yang mendakwa dari Hizbut Tahrir Malaysia bagi penyerahan memorandum di Jabatan Mufti Johor, kira-kira jam 10 pagi Ahad lalu pihaknya mengambil pendirian untuk tidak menerima.

Katanya, Jabatan Mufti Johor mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengambil pendirian itu atas dasar Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) bukanlah satu pertubuhan berdaftar secara sah selain fatwa sudah diwartakan oleh Warta Kerajaan Negeri Johor pada 10 Oktober tahun lalu.

"Sehingga kini, kerajaan negeri mendapat maklumat terdapat 10 badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah membuat laporan polis pada hari sama bagi menyatakan pendirian tidak berpuas hati atas tindakan HTM yang dilihat akan cuba memecah-belahkan perpaduan Islam di Johor.

"Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Mufti Johor sentiasa berusaha untuk menyebarluaskan dan memberi kefahaman kepada masyarakat dan umat Islam berkaitan khususnya fatwa kedudukan fahaman Hizbut Tahrir.

"Diharapkan supaya umat Islam di Johor khasnya dan di Malaysia amnya bersatu hati dalam menangani ancaman pengaruh fahaman Hizbut Tahrir daripada tersebar dan mempengaruhi masyarakat Islam," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama, Pusat Islam Iskandar, dekat sini, semalam.

Terdahulu, kumpulan dikenali HTM membuat kenyataan secara langsung di Facebook (FB) Hizbut Tahrir Malaysia dengan menyatakan Hizbut Tahrir Malaysia menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Jabatan Mufti Johor berhubung fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang penuh dengan fitnah, pembohongan, pemesongan fakta dan kekeliruan'.

Tosrin berkata, fahaman itu cuba dikembangkan sejak tahun lalu, pihaknya mengingatkan supaya HTM atau mana-mana pihak berhati-hati membuat kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat.

Dalam pada itu, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad berkata, tidak ada asas untuk pihaknya bertemu dengan kumpulan itu kerana ia bukan pertubuhan berdaftar.

"Jadi kita menganggap ia sebagai pertubuhan yang haram, selain memang sudah difatwakan sebagai pertubuhan yang bercanggah dengan ajaran Islam dan perlu dielakkan serta tidak boleh disebarkan.

"Jika kita bertemu dengan mereka seolah-olah memberi pengiktirafan kepada mereka. Bagaimanapun, pencerahan kepada masyarakat akan terus dibuat dari semasa ke semasa. Kalau berjumpa atas nama individu kita terima, kalau berjumpa atas nama Hizbut Tahrir, kita tidak terima," katanya.

Sehingga kini, seorang pemimpin kanan negeri pertubuhan itu berusia 40-an masih dalam proses perbicaraan di Mahkamah Syariah Johor Bahru, selepas ditahan ketika memberi ceramah tanpa tauliah di sebuah pusat penyebaran di Taman Pulai Flora, Skudai, pada Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 8:00 AM