MUFTI Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad. FOTO arkib NSTP
MUFTI Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Pendekatan dibawa kumpulan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) bersifat ekstrem yang jelas bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Itu ditegaskan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad yang menyifatkan fahaman mereka boleh membawa kepada perpecahan dalam masyarakat sekali gus menjejaskan keselamatan negeri dan negara.

"Walaupun mereka ini berhajat menyampaikan sesuatu kepada masyarakat tetapi kaedah itu tidak betul iaitu dengan cara menghasut dan sebagainya.

"Kalau kita nak seru kepada kebaikan seharusnya dengan cara baik dan nak ubah keadaan keseluruhan kena menggunakan saluran politik, tapi mereka ini dilihat ekstrem.

"Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan tidak terima cara yang mereka bawa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai sejauh mana kegiatan Hizbut Tahrir di Negeri Sembilan susulan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan seorang anggota kumpulan itu semalam.

Mohd Yusof berkata, kaedah dakwah terbaik adalah dengan cara bijaksana berpandukan ajaran ASWJ seperti diamalkan oleh masyarakat Islam ketika ini.

"Sepatutnya kita sampaikan dengan cara yang baik, tapi jika menggunakan kaedah ekstrem dan terlampau ia adalah tidak sesuai," katanya.

Beliau berkata, pemimpin kumpulan berkenaan pernah tampil menemui Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan sebelum ini dengan tujuan mahu memperakui ajaran mereka.

Menurutnya, bagaimanapun ahli jawatankuasa sudah meneliti fahaman dan ajaran yang mereka bawa berpandukan risalah serta bahan bacaan termasuk buku yang mereka gunakan.

Katanya, adalah jelas fahaman atau pendekatan dibawa kumpulan ini bertentangan dengan ASWJ.

"Saya harapkan masyarakat tidak mudah terpedaya dengan sesuatu ajaran yang dibawa pihak tertentu yang boleh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

"Jika terdapat keraguan, orang ramai seharusnya merujuk kepada pihak berwajib seperti Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Negeri untuk mendapatkan penjelasan.

"Agensi agama di Negeri Sembilan sentiasa bertoleransi dalam hal ini demi kemaslahatan bersama," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun setakat ini ajaran Hizbur Tahrir di Negeri Sembilan adalah terkawal.

"Namun kegiatan Hizbut Tahrir atau apa juga kegiatan lain dan jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar akan terus dipantau oleh agensi penguat kuasa seperti JHEAINS, kerana dikhuatiri mereka menjalankan kegiatan secara senyap untuk mempengaruhi masyarakat," katanya.

Semalam, Pengarah JHEAINS, Datuk Mohd Zaidi Ramli mengesahkan mengenai penahanan seorang lelaki mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Negeri Sembilan 1992.

Terdahulu anggota penguat kuasa menyerbu rumah lelaki itu di Taman Bandar Seremban Selatan, Senawang pada jam 10 malam dan menahan isteri Jamaluddin berusia 46 tahun serta anak perempuannya berusia 22 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 10:57 AM