DATUK Mohd Roze Shaari menunjukkan port atau lokasi penagih serta pengedar dadah yang ditahan dalam serbuan di sekitar negeri Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
DATUK Mohd Roze Shaari menunjukkan port atau lokasi penagih serta pengedar dadah yang ditahan dalam serbuan di sekitar negeri Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis Kedah melakukan tangkapan seramai 1,006 penagih dan pengedar dadah membabitkan 914 kes mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sejak 1 Januari lalu sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, daripada jumlah itu, 186 kes membabitkan 248 tangkapan adalah ke atas pengedar dadah manakala 728 kes yang membabitkan 758 tangkapan adalah penagih dadah.

Beliau berkata, tangkapan termasuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu sebanyak 77 kes dengan 101 tangkapan membabitkan suspek berusia 18 hingga 60 tahun.

"Sepanjang tempoh itu juga seramai 22 pengedar dadah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Pangkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

"Selain itu, seramai 30 orang dituduh mengikut Seksyen 39C ADB 1952 yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan melebihi tujuh tahun serta sebat tidak lebih daripada tiga sebatan.

"Tuduhan mengikut Seksyen 39C ADB 1952 boleh dikenakan terhadap individu yang ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan mempunyai sekurang-kurangnya dua rekod kesalahan lampau mengikut seksyen sama atau dua rekod kemasukan ke pusat pemulihan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin.

Mohd Roze berkata, sepanjang tempoh itu juga, jumlah rampasan dadah terbesar di negeri ini membabitkan ganja seberat 131.6 kilogram diikuti heroin sebanyak 10.2 kilogram an syabu sebanyak 7.70 kilogram, manakala daun ketum pula berjumlah 3.6 tan.

"Dalam pada itu, barangan sitaan pula membabitkan enam kereta bernilai RM177,700, 15 motosikal bernilai RM130,300, wang tunai RM6,924, wang dalam akaun RM9,776.34, barangan kemas bernilai RM18,480 serta lain harta iaitu dua jam tangan bernilai RM350.

"Jumlah keseluruhan barangan yang disita ini dianggarkan sebanyak RM343,530.44," katanya.

Mohd Roze berkata, dalam operasi Ops Tapis yang dilakukan dalam tempoh tiga hari sejak 21 Januari lalu sehingga semalam membabitkan 377 kes dan 409 tangkapan penagih dan pengedar.

Beliau berkata, ia membabitkan 21 kes dengan 28 tangkapan bagi Seksyen 39B ADB 1952, 12 kes dengan 12 tangkapan mengikut Seksyen 39A (2) ADB 1952 dan 20 kes dengan 29 tangkapan mengikut Seksyen 39 A (1) ADB 1952.

"Manakala bagi penagih yang memiliki dadah pula membabitkan tangkapan seramai 109 orang dari 96 kes Seksyen 12(2) ADB 1952, satu kes dan satu tangkapan bagi Seksyen 6 ADB 1952.

"Selain itu, 13 kes dengan 16 tangkapan direkodkan bagi Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 manakala 214 kes dan tangkapan pula disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 1:43 PM