JKM mengesan waris Keisha Alysa. FOTO Ihsan JKM
JKM mengesan waris Keisha Alysa. FOTO Ihsan JKM
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan ibu kandung atau waris kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang bernama Keisha Alysa.

Menurut JKM, keluarga angkat (ibu bapa pelihara) Keisha Alysa iaitu Mohd Zubir Ismail dan Zuriati Mohamed Yusoff memaklumkan kanak-kanak itu diserahkan kepada mereka pada 24 Mac 2019 .

Katanya, penyerahan dibuat oleh pengasuh dan penjaga kanak-kanak berkenaan iaitu Siti Nurkhairunisa Iryani Mohd Nasir yang menetap di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor.

"Keluarga kandung kanak-kanak yang menyerahkan kanak-kanak kepada penjaga untuk dijaga dan diasuh sejak 2016 menghilangkan diri tanpa sebarang makluman.

"Penjaga tidak berkemampuan dan mengalami masalah kewangan serta terpaksa menjaga ibu yang sakit menyerahkan Keisha Alysa kepada pasangan Mohd Zubir Ismail dan Zuriati Mohamed Yusoff untuk penjagaan dan pemeliharaan," katanya dalam satu kenyataan media.

Kanak-kanak itu dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Petaling Jaya pada 8 September dan ditempatkan sementara di bawah jagaan penjaga yang dilantik oleh pihak mahkamah selama tempoh satu bulan bagi membolehkan pelindung menjalankan siasatan dan penyediaan laporan.

"Sehubungan dengan perkara itu, jabatan berharap orang awam yang mengenali ibu atau waris kanak-kanak supaya menghubungi pelindung, Hasnizam Hassim daripada Unit Kanak-Kanak, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling di talian 03-7842 2584 atau 03-7842 2587 dengan segera.

"Ia bagi membincangkan hal penempatan, kebajikan dan penjagaan kanak-kanak terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 2:46 PM