GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


Telupid: Polis mengesan satu kiriman suara dimuat naik dalam aplikasi Whatsapp yang tular berkaitan cubaan culik kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Telupid, di sini, sejak 28 September lalu.

Ketua Polis Daerah Beluran Superintendan Kasim Muda berkata, setakat ini, polis mengesahkan tidak ada menerima sebarang laporan berkaitan kejadian itu.

"Semakan sudah dibuat dengan pihak sekolah mendapati perkara itu tidak berlaku. Pihak sekolah sendiri memanggil murid yang dimaksudkan dan membuat semakan lokasi mendapati ia tidak berlaku.

"Semakan polis mendapati, pemilik suara mesej tular adalah ibu kepada murid yang tanpa usul periksa membuat pesanan di 'grup Whatsapp' keluarga, namun tular tanpa disedari," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, polis menasihatkan orang ramai berhati-hati sebelum berkongsi atau memuat naik berita tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran dalam masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 11:43 PM