KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan itu. FOTO Ihsan Pembaca
Hazsyah Abdul Rahman


PEMANDU lelaki terbunuh, manakala tiga penumpang parah selepas kenderaan dinaiki terbabas sendiri dalam kemalangan di Kilometer 75, Jalan Beluran ke Telupid, dekat Beluran hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi, pemandu kenderaan, Jayacelan R Manickam, 50, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat parah.

Manakala, tiga lelaki tanpa dokumen pengenalan diri dikenali sebagai Surianto Hamid, Zul dan Hamzah, mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, sebelum kejadian kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki semua mangsa dalam perjalanan ke arah Sandakan.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum terbabas ke kanan jalan.

“Pemandu maut di lokasi kejadian dan tiga mangsa parah dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kasim berkata, siasatan awal mendapati pemandu kenderaan disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 3:33 PM