MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Polis
MAYAT mangsa. FOTO Ihsan Polis
Hazsyah Abdul Rahman


MAYAT lelaki ditemui terapung di Sungai Kiabau, Telupid, dekat Beluran, semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat berkenaan kira-kira 1 tengah hari.

Katanya, mayat berkenaan dipercayai berusia lingkungan 50 tahun berdasarkan kepada keadaan fizikal mangsa.

“Mangsa ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dengan memakai berbaju kemeja-T dan seluar panjang.

“Siasatan awal, polis percaya mangsa lemas di kawasan lain sebelum dibawa arus sungai ke tempat mayat ditemui,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kasim berkata, pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk proses bedah siasat.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran di talian 089-511222 untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 11:27 AM