MAYAT nelayan ditemukan terdampar di Pantai Pulau Jerejak, di sini, dipercayai lemas selepas terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan. FOTO ihsan APMM
MAYAT nelayan ditemukan terdampar di Pantai Pulau Jerejak, di sini, dipercayai lemas selepas terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan. FOTO ihsan APMM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Mayat nelayan yang terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan di perairan Jelutong di sini ditemukan terdampar di Pantai Pulau Jerejak di sini, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat berkenaan pada jam 12.45 tengah hari.

Katanya, pasukan bot ronda Kilat 26 yang diatur gerak ke lokasi menemukan mayat lelaki yang lengkap berpakaian terdampar di pantai Pulau Jerejak.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban dan diserah kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Abd Razak berkata, siasatan awal yang diterima daripada pihak polis mendapati mangsa dikenali Mohd Shahrul Mansor, berusia 37 tahun dan berasal Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan, di sini.

Katanya, mangsa dipercayai terjatuh dari sampan ketika menangkap ikan di perairan Jelutong akibat cuaca buruk pagi semalam.

"Sehubungan itu, komuniti maritim dinasihati tidak ke laut sekiranya cuaca buruk dan sentiasa utamakan keselamatan dengan memakai jaket keselamatan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 12:12 PM