BUBU naga yang dirampas Maritim Malaysia. FOTO ihsan Maritim Malaysia
BUBU naga yang dirampas Maritim Malaysia. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 75 set bubu naga di tujuh lokasi berasingan sekitar perairan negeri, di sini, semalam.

Rampasan itu dibuat antara jam 3.40 hingga 6 petang ketika pasukan menjalankan rondaan menerusi Op Pertiwi di sekitar 3.7 hingga 4.7 batu nautika barat laut Sungai Kerian, di sini.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, rampasan itu dibuat hasil aduan awam serta pemantauan semasa rondaan.

Katanya, ketika operasi itu, pihaknya menemukan sebanyak 75 set bubu naga yang dipasang di perairan Sungai Kerian.

"Bubu naga dengan anggaran nilai hampir RM9,000 itu dirampas serta dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban bagi tindakan lanjut.

"Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Abd Razak berkata, pemilik bubu naga boleh didakwa mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang sudah diperuntukkan.

"Maritim Malaysia akan terus memantau aktiviti haram ini dari semasa ke semasa dan meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri," katanya.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus disalurkan kepada Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 11:11 AM