POLIS rampas pakaian dan peralatan yang digunakan semasa kejadian mencuri kabel di  Jalan 6/11 Pandan Indah Commercial Park, Ampang Jaya. FOTO Ihsan PDRM
POLIS rampas pakaian dan peralatan yang digunakan semasa kejadian mencuri kabel di Jalan 6/11 Pandan Indah Commercial Park, Ampang Jaya. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tindakan tiga lelaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menahan suspek susulan laporan polis dibuat mangsa apabila pejabatnya di Jalan 6/11 Pandan Indah Commercial Park di sini, dipecah masuk pada 16 September lalu.

Menurutnya, mangsa mendapati mangga pada jeriji pintu pejabat diumpil dan kabel '4 core armoured' berharga kira-kira RM20,000 yang diletakkan di bahagian tangga hilang dipercayai dicuri.

"Susulan itu, pada jam 10.30 pagi sehingga 11.45 pagi, sepasukan pihak polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan tiga suspek berusia 24 hingga 34 tahun di Lorong Kerdas 5, Batu 6 Jalan Gombak dan Jalan Air Jerneh Setapak.

"Pihak polis turut merampas beberapa pakaian dan lori yang digunakan semasa kejadian serta salinan resit bayaran penjualan kabel," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek pertama yang ditahan mempunyai tujuh rekod lampau jenayah dan dadah manakala suspek kedua dan ketiga tiada sebarang rekod jenayah.

"Ujian air kencing ke atas tangkapan pertama didapati positif dadah jenis Methamphetamin manakala tangkapan kedua dan ketiga negatif sebarang dadah.

"Modus operandi suspek adalah menyasarkan gelung kabel yang diletakkan di tangga rumah kedai. Oleh itu kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 4:19 PM