GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam pergaduhan ketika mabuk di kawasan parkir di Taman Seri Merdeka, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima panggilan daripada orang awam berkaitan pergaduhan di kawasan Jalan Seri Merdeka 1, di sini pada 12.39 tengah malam.

Menurutnya, siasatan mendapati empat lelaki dalam keadaan mabuk bergaduh sesama mereka.

"Punca kejadian didapati disebabkan salah seorang suspek menyuruh suspek lain untuk tidak membuat bising lalu berlaku pertengkaran mulut sehingga berlaku pergaduhan.

"Tiada kecederaan didapati kesemua suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, susulan itu pada 1.35 pagi semalam, sepasukan polis daripada IPD Ampang Jaya membuat dua siri tangkapan.

"Tangkapan tiga lelaki di Jalan Seri Merdeka 1 Taman Seri Merdeka, Ampang Jaya manakala satu lagi tangkapan seorang lelaki di tepi Jalan Wawasan Ampang, Bandar Baru Ampang," katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 26 hingga 54 tahun bekerja sebagai penghantar barang, tukang masak, pemandu bas dan penggangur.

Seorang daripada suspek didapati mempunyai lima rekod lampau jenayah manakala seorang mempunyai dua rekod lampau jenayah dan dua lagi masing-masing mempunyak satu rekod lampau jenayah.

"Ujian saringan air kencing negatif dadah," katanya.

Reman terhadap suspek sudah pohon di Mahkamah Ampang dan diperolehi selama tiga hari sehingga esok.

"Turut dirampas satu 'glue gun' (pistol perekat) yang ditujukan salah seorang suspek semasa pergaduhan yang dikatakan seperti pistol. Juga dirampas sebuah helmet biru dan motosikal," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun keseksaan,yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 4:31 PM