Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Alat pengesan sonar yang digunakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam berjaya mengesan kedudukan bot karam di perairan Parit Hailam di sini Rabu lalu.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata, alat pengesan sonar yang digunakan berjaya mengesan kedudukan tepat bot karam berkenaan iaitu pada kedalaman 40 meter di dasar laut.

Katanya, dengan perolehan data kedalaman berkenaan, pasukan operasi mencari dan menyelamatkan (SAR) akan menggunakan khidmat penyelam profesional bagi mencari dua mangsa yang hilang.

"Berkemungkinan kedua-dua mangsa masih lagi terperangkap di dalam bot yang telah karam sejak Rabu lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, pada hari keempat operasi SAR ini, kawasan pencarian diperluaskan sehingga 235 batu nautika persegi membabitkan pelbagai agensi.

"Perluasan kawasan pencarian berkenaan mengambil kira faktor tolakan arus dan angin.

"Usaha pencarian di permukaan masih tidak menjumpai apa-apa lagi sehingga jam 1 petang ini," katanya.

Beliau berkata, komuniti nelayan setempat juga dimaklumkan untuk bantuan pencarian dan selamatkan mangsa sekiranya ditemui.

ALAT pengesan sonar diturunkan ke dalam laut bagi mengesan kedudukan tepat bot karam di perairan Parit Hailam di sini. FOTO Essa Abu Yamin
ALAT pengesan sonar diturunkan ke dalam laut bagi mengesan kedudukan tepat bot karam di perairan Parit Hailam di sini. FOTO Essa Abu Yamin

Kelmarin media melaporkan dua nelayan hilang selepas bot mereka karam ketika cuaca buruk di perairan Parit Hailam, dekat sini kira-kira jam 5 petang.

Mangsa ialah Te Chia Rong, 38, yang tinggal di Kampung Parit Botak, Mukim 10 dan Chia Hock Neng, 60, dari Jalan Rengit Impian 2, Taman Impian, Rengit.

Bot nelayan berkenaan dikendalikan oleh empat nelayan rakyat tempatan yang keluar untuk memukat.

Bagaimanapun, keadaan cuaca buruk dan ombak besar menyebabkan bot terbalik seterusnya karam.

Tekong dan seorang lagi kru berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bot dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran, namun dua lagi tidak sempat untuk menyelamatkan diri, dipercayai sedang tidur semasa bot menarik pukat.

#kw sonar, kesan, bot, nelayan, dasar, laut, APMM, Batu Pahat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 1:54 PM