MAHDZIR menyampaikan sumbangan kepada sebahagian penduduk. FOTO Luqman Hakim Zubir.
MAHDZIR menyampaikan sumbangan kepada sebahagian penduduk. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bersama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan pada minggu depan bagi membincangkan isu penoreh getah yang kini terkesan dengan kejatuhan harga komoditi itu ketika ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sangat komited untuk membela nasib penoreh getah di seluruh negara dan ia akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas perbincangan tiga kementerian itu diadakan.

"Apabila ketiga-tiga kementerian ini sudah ada persefahaman, kita akan angkat cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dapatkan kelulusan secepat mungkin.

"Perkara ini membabitkan masyarakat di kampung dan mesti ada pembelaan dari kerajaan buat mereka," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Mesra Pengguna di Pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad di sini, hari ini.

Isnin lalu, Mahdzir memaklumkan terdapat dua syor yang akan dikemukakan kementerian itu kepada Perdana Menteri dalam membela nasib golongan penoreh getah di negara ini.

Syor pertama adalah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada cuma tiga bulan kepada enam bulan manakala syor kedua adalah meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada cuma RM2.50 ketika ini kepada RM3.

Ketika ini harga getah sekerap berada pada paras RM2.30 hingga RM2.40.

Ditanya sama ada terdapat dalam kalangan peneroka mahu pun pekebun Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memohon mahu menukar tanaman getah ke sawit berikutan penurunan harga komoditi itu, Mahdzir berkata, memang terdapat permohonan sedemikian sebelum ini ketika harga sawit melonjak tinggi.

"Mereka mahu tukar tanaman itu ketika pelaksanaan projek penanaman semula tetapi perkara ini membabitkan polisi. Berapa ramai individu yang membuat permohonan itu, saya tak ada angkanya sekarang," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, bagi memastikan kelestarian tanaman komoditi getah, Risda mensasarkan seluas 25,000 hektar setahun dicapai bagi mengekalkan keluasan tanaman getah negara pada kadar 1.09 juta hektar.

Katanya, langkah itu penting agar pembangunan industri getah dapat dipacu secara mapan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 7:44 PM