MOHD Salim menyerahkan bakul makanan kepada mangsa banjir. FOTO Safuri Kamarudin
MOHD Salim menyerahkan bakul makanan kepada mangsa banjir. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


Baling: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan RM191 juta sebagai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi kira-kira 232,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.

Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, bantuan BMT itu akan diberi kepada setiap pekebun kecil yang memiliki keluasan kebun getah kurang 2.5 hektar pada November dan Disember ini.

"Faktor geografi dan taburan hujan yang tidak menentu setiap tahun menyebabkan pekebun kecil getah terkesan dengan fenomena berkenaan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir bulan lalu di Kampung Haji Abas dan Lubuk Pedati dekat sini.

Turut hadir Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal.

Mengulas mengenai harga getah sekerap, Mohd Salim berkata, harga komoditi itu dijangka dapat dinaikkan tahun hadapan.

"RISDA masih dalam perbincangan bersama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bagi meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram.

"Sekiranya harga lantai komoditi ini dapat naik mulai Januari ini, kerajaan tidak lagi perlu memberi subsidi musim tengkujuh, sebaliknya semua pekebun kecil seluruh negara mendapat manfaat daripadanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 11:37 AM