Gambar hiasan
Gambar hiasan
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Guru besar ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, selepas dipercayai menyalahgunakan kedudukannya dalam urusan pembelian barangan sekolah.

Sumber berkata, wanita berusia 58 tahun dan bertugas di sebuah sekolah pendidikan khas ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Sungai Petani pada 1.27 tengah hari tadi.

Dia bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 kerana perlu menjaga suami uzur di rumah.

Guru itu dipercayai melakukan pembelian barangan sekolah bernilai RM22,646 kepada syarikat yang didaftar atas nama dua anaknya.

"Dikatakan antara tahun 2019 hingga 2021 suspek telah menyalahgunakan kedudukan dengan melakukan pembelian barangan sekolah melalui dua syarikat milik beliau.

"Syarikat itu telah didaftarkan atas nama dua anak lelakinya yang berumur 33 tahun dan 31 tahun dengan anggaran nilai sebut harga RM22,646," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 9:46 PM