GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Sembilan individu termasuk lapan kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah ditahan hari ini kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah dan melindungi lori pengangkutan di negeri ini.

Semua suspek berusia antara 29 hingga 63 tahun terbabit ditahan dalam operasi khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sini dan Kulim, 8.25 pagi hingga 7.45 malam tadi.

Difahamkan, lapan kakitangan JPJ Kedah termasuk seorang wanita disyaki terbabit menerima suapan daripada pengusaha dan pekerja syarikat pengangkutan bagi mengelak tindakan diambil ke atas lori milik syarikat terbabit.

Antara kesalahan dilakukan lori milik syarikat pengangkutan terbabit adalah membawa barangan lebih muatan dan lori tidak mematuhi peraturan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Turut ditahan seorang pesara awam yang dipercayai terbabit menjadi orang tengah kepada syarikat pengangkutan terbabit dalam berurusan bersama kakitangan penguatkuasaan berkenaan.

Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a) dan 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Operasi yang dilakukan SPRM Kedah ini dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan sama dilakukan kakitangan JPJ Pulau Pinang yang ditahan pada 2019 lalu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan memaklumkan kenyataan penuh berhubung operasi itu akan dibuat SPRM Putrajaya dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 12:37 PM