GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
M Hifzuddin Ikhsan

Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pesara awam lelaki berusia 69 tahun kerana dipercayai menyalahgunakan jawatannya dalam projek lebuh raya pada 2005.

Sumber berkata, pesara terbabit yang pernah bertugas di salah sebuah Pejabat Tanah dan Daerah negeri ini, ditahan di Pejabat SPRM Kedah ketika hadir memberi keterangan pada jam 3 petang semalam.

"Lelaki terbabit ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan jawatannya ketika proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi pembinaan projek Lebuhraya Langkawi pada 2005.

"Sebagai balasan, dia dipercayai mendapat suapan sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi, ketika masih dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM15,000 beserta seorang penjamin atas faktor umur dan kesihatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 7:30 PM