HIASAN SPRM
HIASAN SPRM
Zuliaty Zulkiffli


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan dua penjawat awam untuk membantu siasatan kes penipuan dalam penyediaan resit pembelian pakaian seragam.

Sumber berkata, pegawai dan kakitangan agensi terbabit disyaki mengemukakan resit mengandungi butiran palsu berkaitan pembelian kasut daripada sebuah syarikat berjumlah RM335, tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, setiap tuntutan dilakukan namun pembelian tidak dibuat.

“Hasil maklumat, seorang lelaki dan seorang wanita berusia 40-an itu ditahan 10.25 pagi tadi untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati seramai 230 kakitangan agensi itu dipercayai terbabit dalam membuat tuntutan palsu dan akan dipanggil keterangan untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Menurutnya, seorang suspek dibebaskan dengan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin, manakala seorang lagi dibebaskan dengan jamin mulut dengan seorang penjamin.

Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit, namun enggan mengulas lanjut.

Harian Metro pada 11 Januari lalu melaporkan ada pihak menyediakan resit pembelian pakaian seragam jabatan kerajaan seakan-akan benar untuk membuat tuntutan palsu bagi mengaut wang mudah menyebabkan kerajaan kerugian sehingga RM100,000 setahun.

Taktik itu dilakukan beberapa pegawai dan kakitangan sebuah jabatan kerajaan di Kedah yang menyalahgunakan peruntukan pakaian seragam yang disediakan kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 6:49 PM