GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini, menahan Pengarah Jabatan Kejuruteraan sebuah majlis perbandaran di negeri ini, bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM200,000 dua tahun lalu.

Menurut sumber, lelaki berusia 41 tahun dengan gred jawatan J48 dipercayai menyalahgunakan kuasanya bagi mencadangkan syarikat milik bapanya mendapat projek yang dikeluarkan kerajaan pada 2019.

Katanya, suspek dikatakan membuat cadangan itu kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah membabitkan projek kerja menurap dan menyelenggara jalan di sebuah daerah di negeri ini.

"Turut ditahan seorang kontraktor lelaki berusia 48 tahun yang dipercayai turut mempunyai kaitan dalam kes sama.

"Kedua-dua mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang, kira-kira 11 pagi tadi," katanya.

Ketika ini, SPRM masih melakukan proses rakaman percakapan ke atas kedua-dua suspek dan menyemak dokumen berkaitan kes bagi mendapatkan bukti lanjut.

Difahamkan, SPRM dijangka memohon mendapatkan perintah reman ke atas kedua-dua suspek di Kompleks Mahkamah Georgetown, Pulau Pinang, pagi esok.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan terbabit dan siasatan lanjut sedang dilakukan pihaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 3:18 PM