HOTEL terkemuka di Teluk Datai, terbakar kali kedua pada 13 Januari lalu selepas bangunan hotel sama turut terbakar petang sehari sebelum itu.FOTO Ihsan pembaca
HOTEL terkemuka di Teluk Datai, terbakar kali kedua pada 13 Januari lalu selepas bangunan hotel sama turut terbakar petang sehari sebelum itu.FOTO Ihsan pembaca
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Siasatan berhubung kebakaran membabitkan sebuah hotel terkemuka di Teluk Datai, Langkawi pada 12 Januari lalu, kini siap sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, siasatan peringkat awal dilaksanakan Bahagian Penyiasatan Kebakaran yang berada selama tiga malam untuk mengenalpasti punca kebakaran.

Beliau berkata, bagaimanapun kes itu diserahkan kepada Ibu Pejabat JBPM di Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.

"Saya tidak boleh mendedahkan laporan rasmi kebakaran itu kerana ia diserahkan kepada pihak ibu pejabat.

"Namun secara umum disebabkan kita berada dalam musim Monsun Timur Laut ketika itu kemerebakan kebakaran itu disebabkan faktor angin, persekitaran dan geografi kawasan itu sendiri," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah, di sini, hari ini.

Terdahulu, Sayani menerima sumbangan sebuah van jenazah daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman untuk kegunaan seluruh warga JBPM Kedah.

Sayani berkata, semua faktor itu menyebabkan kemerebakan api berlaku dengan pantas, tambahan struktur binaan hotel itu apabila dekorasinya menggunakan kayu yang banyak.

"Faktor angin dan cuaca itu menyebabkan api naik dengan cepat walaupun anggota berjaya mengawal kebakaran itu di peringkat awal.

"Apabila banyak menggunakan kayu alang dengan ukiran cantik sebagai ganti kepada konkrit, ia sangat memberi risiko kepada anggota pemadaman," katanya.

Dalam kejadian 13 Januari lalu, hotel terkemuka di Teluk Datai, terbakar kali kedua selepas bangunan hotel sama turut terbakar petang sehari sebelum itu.

Dalam kejadian 1 pagi itu, hotel berkenaan terbakar semula akibat angin kencang selain struktur bangunan diperbuat daripada kayu menyebabkan hotel itu musnah hampir 100 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 3:56 PM