KAWASAN tapak pelupusan sampah Kemunting di Jitra yang terbakar sejak Rabu lalu akhirnya berjaya dipadamkan dan operasi tamat hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
KAWASAN tapak pelupusan sampah Kemunting di Jitra yang terbakar sejak Rabu lalu akhirnya berjaya dipadamkan dan operasi tamat hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Selepas hampir lima hari berhempas pulas, operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah di Kemunting, Jitra, berakhir hari ini apabila api berjaya dipadam sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, operasi yang bermula sejak jam 3.30 petang Rabu lalu membuahkan hasil hasil kerja keras 40 anggota dan lima pegawai dari Zon I yang melakukan pelbagai kaedah pemadaman.

Beliau berkata, Zon I membabitkan anggota dan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra; Alor Setar, Pokok Sena, Kuala Nerang, Jalan Raja, Pendang dan Bukit Kayu Hitam yang diketuai Ketua Zon I JBPM Kedah, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin.

"Operasi ditamatkan pada jam 10.55 pagi hari ini. Angin kencang dan cuaca panas menyebabkan pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk memadam kebakaran dengan cepat.

"Selain itu, bahan buangan (sampah) di kawasan itu yang murah terbakar menyebabkan api merebak dengan cepat," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP).

Sayani berkata, operasi turut menggunakan sumber air terbuka iaitu air tasik di kawasan itu selain air jentera tangki dari BBP Alor Setar dan turut dibantu BBP Sungai Petani.

"Selain itu, anggota juga menghadapi risiko terutama ketika melakukan pemadaman pada waktu malam kerana kecerunan sampah yang berlapis menjadi timbunan tinggi dan berkemungkinan boleh menyebabkan terjerlus ke dalam timbunan sampah berbanding pemadaman pada waktu siang.

"Operasi dibahagikan kepada beberapa sektor sekali gus memudahkan usaha memadam kebakaran dari terus merebak," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengawal pembakaran terbuka dan tidak meninggalkannya tanpa pengawasan bagi mengelakkan kebakaran makin merebak.

Media sebelum ini melaporkan, anggota bomba berusaha memadam kebakaran membabitkan kawasan tapak pelupusan sampah seluas 1.6 hektar yang terbakar sejak Rabu lalu.

Anggota bomba turut berdepan cabaran angin kencang dan cuaca panas menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 3:49 PM