Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Dua kawasan penempatan setinggan iaitu di tepi laut Kuala Kedah di sini, dan Bukit Malut, Langkawi dikenal pasti sebagai lokasi berisiko sekiranya berlaku kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Sayani Saidon berkata, kepadatan penduduk serta rumah yang terletak berdekatan di kawasan itu menyebabkan kebakaran boleh merebak dengan cepat.

Berikutan itu, pihaknya bersama Pasukan Bomba Sukarela (PBS) melakukan latihan amal di Kampung Ulu Kuala Kedah, antara kawasan setinggan yang padat dengan penduduk hari ini.

"Tujuan latihan ini dilakukan adalah untuk menguji kepantasan anggota melakukan tugas kerja pemadaman selain membiasakan anggota kita memadam kebakaran menggunakan sumber air terbuka iaitu air laut.

"Sekarang ini, masih lagi berlakunya monsun timur laut yang menyebabkan cuaca panas dan angin kencang, ia boleh menyebabkan api boleh merebak dengan cepat sekiranya berlaku kebakaran," katanya ketika ditemui selepas latihan itu.

Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain dan Ketua Zon I JBPM Kedah Wan Mohd Hamizi Mohd Zin.

Sayani berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) paling hampir di kawasan itu adalah Jalan Raja dan bantuan dari BBP Alor Setar.

Beliau berkata, pihaknya turut menggunakan dua jentera dan sebuah jentera tangki air selain bantuan PBS untuk menjayakan latihan amal itu.

"Kita juga mendapat kerjasama dari penduduk setempat yang sangat gembira dengan latihan yang diadakan kerana ia sedikit-sebanyak memberi keyakinan sekiranya berlaku kebakaran di kawasan kediaman mereka.

"Dalam latihan ini, sebanyak lima buah rumah musnah 80 peratus dan terdapat dua mangsa cedera dan seorang daripadanya maut dalam kebakaran," katanya.

Sementara itu, penduduk kampung, Zaharin Yahya, 57, berkata, dia berterima kasih kepada pihak bomba kerana mengadakan program seperti hari ini kerana sekurang-kurangnya penduduk dapat mengetahui apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran di kawasan itu.

Menurutnya, sebelum ini pernah berlaku kebakaran besar di kawasan penempatan setinggan di situ namun bersyukur kerana semua penduduk terselamat.

"Makcik jual kuih dan banyak guna dapur memasak dan kalau berlaku kebakaran, tak tahulah nak cakap.

"Dengan latihan amal yang dilakukan hari ini, makcik akan letakkan dokumen penting di tempat yang mudah diambil dan jika berlaku kebakaran, makcik dan keluarga boleh terus lari selamatkan diri dulu," katanya.

SAYANI Saidon (tengah) mendengar penerangan dari Wan Hamizi Mohd Zin (kanan) berkaitan latihan amal di Kampung Ulu, Kuala Kedah iaitu kawasan penempatan setinggan yang berisiko sekiranya berlaku kebakaran. FOTO Zuliaty Zulkiffli
SAYANI Saidon (tengah) mendengar penerangan dari Wan Hamizi Mohd Zin (kanan) berkaitan latihan amal di Kampung Ulu, Kuala Kedah iaitu kawasan penempatan setinggan yang berisiko sekiranya berlaku kebakaran. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:43 PM