Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan satu sindiket yang aktif memproses dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak Januari lalu menerusi tangkapan tiga sekawan dalam serbuan di sebuah pondok di Segambut, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya membuat tangkapan terhadap tiga lelaki tempatan berusia 32 hingga 51 tahun terbabit dalam serbuan dilakukan 2.30 pagi.

"Hasil pemeriksaan dilakukan di lokasi serbuan menemui dadah jenis ketamin seberat 3,631 gram, kafien (14,136 gram), heroin (111 gram) dan methaphetamin (0.13 gram).

"Selain itu, kami juga menemui pelbagai jenis bahan kimia dalam bentuk cecair dan serbuk serta peralatan memproses dadah.

"Turut dirampas adalah tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal, satu jam tangan berjenama serta barang kemas dalam serbuan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Beh (dua dari kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan barangan rampasan. FOTO Aizuddin Saad
Beh (dua dari kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan barangan rampasan. FOTO Aizuddin Saad

Beliau berkata, semua dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 8,939 penagih dan dianggarkan bernilai RM220,950.

"Hasil siasatan mendapati suspek mempelajari cara untuk memproses dadah melalui rakannya ketika berada di dalam penjara.

"Berdasarkan bahan kimia yang dirampas, kami percaya kebanyakan dadah yang diproses adalah heroin untuk dijual kepada kenalan di sekitar Lembah Klang.

"Kami masih lagi menyiasat dari mana sindiket ini memperoleh bekalan bahan kimia serta dadah berkenaan selain mengenal pasti saki baki kumpulan terbabit," katanya.

Katanya, semakan dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kesemua suspek berkenaan positif dadah jenis methaphetamin.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 7 September nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 9:55 PM