Eng Lai (tengah) menunjukkan gambar rampasan dadah yang dilakukan pihaknya. FOTO Azhar Ramli
Eng Lai (tengah) menunjukkan gambar rampasan dadah yang dilakukan pihaknya. FOTO Azhar Ramli
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Selain memproses sendiri dadah, seorang lelaki juga mengambil upah untuk mengajar cara-cara memproses dadah menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, helah lelaki berusia 56 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Setapak, di sini, pada 17 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kegiatan itu terbongkar susulan penahanan seorang wanita dan seorang lelaki yang disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah di taman permainan di Bandar Baru Sentul, di sini, pada 16 Mei lalu.

"Pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek berusia 30-an berkenaan menemukan methaphetamin seberat 51.80 gram dan ganja seberat tiga gram.

"Berpandukan arah daripada suspek lelaki terbabit, kami membuat serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Sentul yang menemukan methaphetamin seberat 150 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Eng Lai berkata, hasil soal siasat dilakukan terhadap dua suspek berkenaan membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah, Puchong, Selangor, pada 17 Mei lalu.

"Dalam serbuan itu, kami menahan tiga lelaki dan tiga wanita yang terdiri daripada dua keluarga berusia antara 30 hingga 65 tahun serta merampas dadah jenis methaphetamin seberat 370 gram.

"Pemeriksaan lanjut juga menemukan bahan kimia yang dipercayai bahan utama bagi memproses methaphetamin seperti Acetone, Methanol, Hydrogen Peroxide serta perkakasan rod kaca, alat penitis, corong turas berkaca, alat penimbang dan alat pemanas elektrik," katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah di Setapak, di sini, pada 17 Mei lalu dan menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang dipercayai mempunyai kepakaran dalam memproses dadah.

"Hasil maklumat diperolehi daripada suspek berkenaan membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah di Jalan Gombak, Selangor selain merampas bahan kimia serta perkakasan yang digunakan untuk menghasilkan dadah jenis methaphetamin.

"Siasatan awal mendapati suspek itu mengambil upah RM5,000 bagi setiap sesi pengajarannya mengenai cara-cara memproses dadah yang dibuat menerusi panggilan video di aplikasi WhatsApp.

"Difahamkan suspek mempelajari cara-cara memproses dadah menerusi media sosial selain turut memproses sendiri dadah berkenaan di rumah sewanya di Jalan Gombak," katanya yang memaklumkan semua suspek berkenaan aktif melakukan kegiatan itu sejak 2019.

Katanya, semua rampasan dadah dalam semua serbuan berkenaan dianggarkan bernilai RM57,330 dan ia boleh dibekalkan kepada 1,422 penagih.

"Semakan mendapati lapan daripada sembilan suspek yang ditahan mempunyai rekod berkaitan dadah, manakala suspek yang mengajar cara-cara memproses dadah berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bermula 18 Mei lalu hingga semalam dan disambung semula hingga 28 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 11:30 AM