Sulaiman melawat bayi Merdeka yang lahir di Hospital Melaka, hari ini. FOTO NURALIAWATI SABRI
Sulaiman melawat bayi Merdeka yang lahir di Hospital Melaka, hari ini. FOTO NURALIAWATI SABRI
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seramai sembilan 'Bayi Merdeka' dilahirkan di Hospital Melaka (HM) di sini, sejak awal pagi, hari ini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, daripada jumlah itu seramai lima bayi adalah perempuan manakala baki adalah lelaki dengan bayi merdeka pertama dilahirkan pada jam kira-kira 3.20 pagi .

"Sehingga jam 10 pagi ini, seramai sembilan bayi Merdeka selamat dilahirkan dan ada lima ibu mengandung lagi sedang menunggu untuk melahirkan bayi.

"Doa saya anak-anak ini akan menjadi seorang pemimpin yang mampu mengurus serta mentadbir negara suatu hari nanti," katanya selepas melawat bayi Merdeka di HM, hari ini.

Bagi ibu bayi Merdeka, Hannah Saniah Mohd Safiq Goh, 29, berkata, dia tidak sangka anak sulungnya akan lahir pada 31 Ogos selepas lewat dua hari dari tarikh sebenar.

"Doktor jangkakan bayi akan lahir pada 29 Ogos tetapi tiada tanda dan Alhamdulillah pagi tadi anak selamat dilahirkan.

"Memang tidak jangka, cuma saya dan suami berdoa anak selamat dilahirkan mungkin juga bonus buat kami menyambut puteri sulung pada Hari Kemerdekaan," katanya.

Menurut seorang lagi ibu kepada bayi Merdeka Suzzana Mohd Shah, 39, berkata, dia dijangka akan melahirkan anak keenamnya pada Jumaat (2 September) secara pembedahan tetapi sebaliknya berlaku apabila bayi lelakinya selamat dilahirkan awal pagi tadi.

"Anugerah Allah buat kami untuk dapat anak Merdeka, bangga jugalah daripada enam anak seorang dilahirkan pada 31 Ogos," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 5:11 PM