Bayi merdeka yang dilahirkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM). FOTO IHSAN HOSPITAL USM
Bayi merdeka yang dilahirkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM). FOTO IHSAN HOSPITAL USM
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seramai 17 'bayi merdeka' dilahirkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di sini, bermula jam 12.01 tengah malam semalam, sehingga jam 11.59 malam tadi.

Daripada jumlah itu, sembilan adalah lelaki dan lapan perempuan. Bayi berkenaan dilahirkan secara normal serta pembedahan.

Seorang daripada ibu bayi merdeka, Siti Khairiyah Pauzi, 32, yang juga Penyelia Asrama, Institut Kemahiran Belia Tinggi Kelantan (IKBTN) berkata, dia teruja dan gembira menimang cahaya mata sulung yang lahir pada hari ulang tahun kemerdekaan negara.

Katanya, dia melahirkan bayi merdeka pertama di hospital itu, jam 2.25 pagi semalam.

"Alhamdulillah, syukur kerana saya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.31 kilogram (kg) melalui pembedahan.

"Saya dijangka bersalin pada 6 September, namun disebabkan indikasi tertentu, saya dimasukkan ke hospital lebih awal," katanya.

Sementara itu, Siti Hajar Ghazali, 38, berkata, dia dan suami, Mohd Sanusi Yusof berasa bertuah kerana cahaya mata keempat mereka dilahirkan pada Hari Kebangsaan walaupun tarikh jangkaan sebenar yang diberikan doktor adalah pada 29 September ini.

"Alhamdulillah, saya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.06kg, jam 3.20 pagi semalam.

"Syukur ke hadrat Allah SWT, semua urusan bersalin dipermudahkan oleh-Nya dan kelahiran bayi merdeka ini adalah rahmat buat kami," katanya yang juga Pembantu Jururawat Hemodialisis Renal-Link (Kelantan) Sdn Bhd," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 11:42 AM