Izz Laily Hussein


Johor Bahru: "Semoga anak ini membesar dengan semangat patriotik sesuai dengan tarikh kelahirannya," kata seorang bapa, Zainul Muttaqim Muhd Lutffi, 24.

Zainul Muttaqim dan isteri Nurul Natasyafiena Sapari, 24, menimang cahaya mata pertama hari ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-65.

Katanya, besar harapannya supaya anak sulungnya itu membesar dan mempunyai semangat patriotik serta cintakan negara memandangkan dia lahir pada tarikh keramat negara mencapai kemerdekaan iaitu 31 Ogos.

"Saya bersyukur anak saya yang dilahirkan pada jam 6.35 pagi tadi sihat dan selamat. Saya juga berharap untuk membesarkannya dalam suasana patriotik dan cintakan kepada negara.

"Pengalaman pertama kali bergelar bapa adalah perkara yang amat menakjubkan, melihat bayi ini dilahirkan semua rasa gelisah dan bimbang hilang," katanya yang ditemui di Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn di sini, hari ini.

Pasangan itu bercadang memberikan nama berkaitan bunga kepada anak perempuannya yang lahir dengan berat 3.25 kilogram itu.

Menurut Nurul Natasyafiena pula, dia dan suami tidak pernah merancang untuk melahirkan bayi mereka hari ini kerana tarikh jangkaan kelahiran adalah pada 10 September depan.

"Saya dan suami tidak pernah terfikir mahu anak kami dilahirkan pada apa-apa tarikh istimewa negara, kerana jika diikutkan tarikh jangkaan adalah pada bulan September.

"Namun, kami tetap bersyukur dan gembira kerana anak kami 'memilih' untuk dilahirkan pada tarikh kemerdekaan Malaysia. Rasa seronok juga kerana tarikh itu senang untuk diingat," katanya.

Bayi pasangan itu antara tiga bayi yang dilahirkan di hospital berkenaan pada hari ini.

Seorang lagi bapa kepada bayi merdeka, Ee Chin Siang, 34, berkata, doktor memberitahu anaknya dijangka lahir pada 27 Ogos lalu, namun sehingga tarikh itu, isterinya, Kan Cun Xi, 33, masih tidak menunjukkan sebarang tanda hendak bersalin.

"Pada 29 Ogos, isteri mula memberitahu ada rasa seperti hendak bersalin dan kami terus ke hospital, tetapi rupanya anak kami masih tidak mahu keluar, mungkin menunggu tarikh bersejarah hari ini," katanya yang menimang anak lelaki keduanya itu pada jam 9.35 pagi dengan berat 3.43 kilogram.

Chin Siang berkata, dia dan isteri berharap anaknya itu akan membesar menjadi insan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling dan juga kepada negara tercinta.

"Apabila dia lahir pada tarikh ini, pastinya dia akan mendapat gelaran bayi merdeka sehingga usianya dewasa, jadi saya berharap dia akan membesar dengan baik dan menjadi warganegara yang patriotik.

"Saya juga sudah memilih nama yang bersesuaian untuknya iaitu Wyatt Ee yang membawa maksud keberanian dalam peperangan," katanya.

Pusat Ibu dan Bayi di Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn itu baharu beroperasi selama setahun dan ini adalah pertama kali hospital itu menyambut kelahiran bayi merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 3:47 PM
ZAINUL Muttaqim (dua kiri) serta Nurul Natasyafiena dan Chin Siang, (dua kanan), isterinya Cun Xi bergambar bersama selepas menyambut kelahiran bayi pada Hari Kebangsaan. Turut hadir, Pengurus Unit Wad Bersalin, Norazlina Mohamed dan Jurutera Biomedical, Farah Farhana Mohammad, (kanan). FOTO Nur Aisyah Mazalan
ZAINUL Muttaqim (dua kiri) serta Nurul Natasyafiena dan Chin Siang, (dua kanan), isterinya Cun Xi bergambar bersama selepas menyambut kelahiran bayi pada Hari Kebangsaan. Turut hadir, Pengurus Unit Wad Bersalin, Norazlina Mohamed dan Jurutera Biomedical, Farah Farhana Mohammad, (kanan). FOTO Nur Aisyah Mazalan