Wartawan Harian Metro


SEORANG jururawat tidak menyangka anak keduanya akan dilahirkan pada tarikh keramat 31 Ogos, ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-60 hari ini.

Nurzulaika Baharin, 29, berkata, bayi lelaki yang dilahirkan di Hospital Pantai Ipoh pada jam 12.53 tengah malam tadi, sepatutnya dilahirkan pada 10 September.

Bayi seberat 2.6 kilogram (kg) dilahirkan secara normal selepas berada dalam bilik bersalin hampir tujuh jam di hospital.

“Memang saya tak jangka anak nak keluar lebih awal, saya ingat mungkin dua tiga hari lagi, bila saya terdengar doktor menyambutnya berkata ini bayi pertama hari merdeka di hospital ini, saya dan suami teruja.

"Memandangkan dilahirkan pada hari bertuah ini, kami akan nama anak saya Muhammad Razan Syarif," katanya.

Seramai enam bayi dilahirkan di Hospital Pantai Ipoh sehingga jam 3 petang ini, iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.

Di Johor, seramai 63 bayi merdeka dilahirkan di hospital awam seluruh di negeri Johor mulai 12 tengah malam hingga tengah hari hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ia termasuk 34 bayi lelaki dan 39 bayi perempuan.

"Sempena hari bersejarah ini, Johor mencatatkan kelahiran 63 bayi dan dijangka bilangan ini meningkatkan hingga tengah malam hari ini,” katanya menerusi kenyataan media.

Sementara itu, Siti Sarah Sharifudin, 25, bersama suaminya, Amirul Hafiz Afendi, 25, bersyukur menimang cahaya mata pada hari kebangsaan.

Berdasarkan jangkaan doktor, dia sepatutnya bersalin pada pertengahan September.

"Saya mengalami sakit bersalin malam tadi dan dimasukkan ke hospital ini pada 12 tengah malam.

"Tidak sangka saya menimang cahaya mata sulung perempuan pada 31 Ogos dan kami bersyukur kerana bayi sihat.

"Anak saya seberat 3.32 kg dan lahir pada 9 pagi hari ini," katanya.

Sementara itu, di Melaka, 10 bayi merdeka dilahirkan hari ini.

Daripada jumlah itu, tujuh adalah bayi lelaki manakala tiga lagi perempuan, mereka dilahirkan antara jam 12.01 tengah malam hingga jam 10.25 pagi.

Bagi S Kanimozhi, 29, kehadiran cahaya mata lelaki keduanya pada tarikh bersejarah adalah hadiah paling bermakna buatnya dan suami S Nadesan, 34, apabila bayinya selamat dilahirkan pada jam 6.21 pagi, dengan berat 2.4 kg.

Manakala di Terengganu seramai 32 bayi dilahirkan pada hari ini dengan bayi pertama lelaki seberat kira-kira 2.87 kg dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) jam 12.01 tengah malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu, Roslee Daud berkata, HSNZ juga mencatatkan jumlah kelahiran bayi teramai iaitu 21 orang iaitu sembilan lelaki dan 12 perempuan.

"Hospital Kemaman mencatatkan kelahiran bayi seramai enam orang iaitu empat lelaki dan dua perempuan, tiga bayi lelaki dilahirkan di Hospital Dungun (HD) manakala Hospital Besut empat lelaki," katanya yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman meraikan bayi merdeka di HSNZ, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2017 @ 7:02 PM