Bayi yang baru dilahirkan sempena Hari Merdeka ketika ditemui pada Program Sambutan Bayi Merdeka Sempena Bulan Kemerdekaan yang ke 66 di Hospital Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Bayi yang baru dilahirkan sempena Hari Merdeka ketika ditemui pada Program Sambutan Bayi Merdeka Sempena Bulan Kemerdekaan yang ke 66 di Hospital Shah Alam. FOTO GENES GULITAH
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Pasangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) teruja apabila anak keempat mereka lahir pada Hari Kebangsaan.

Sarjan Siti Mariam Ali, 41 berkata anak lelakinya itu dijangka lahir pada 19 September ini.

"Sangat teruja sebab jangkaan dia lahir bulan depan, tak sangka dia lahir 31 Ogos, jam 12.17 tengah malam.

"Tambahan pula, saya dan suami masing-masing bertugas sebagai anggota tentera jadi kami memang amat berbangga ada anak merdeka.

"Harapan saya agar dia menjadi anak yang berguna untuk negara dan bangsa," katanya yang bertugas di Kor Kesihatan Diraja Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pangkalan Udara Subang.

Siti Mariam adalah ibu pertama yang melahirkan bayi merdeka di Hospital Shah Alam setakat jam 2 petang hari ini.

Ditanya mengenai nama bayi lelakinya, Siti Mariam berkata, beliau dan suami, Sarjan Sumail Gilada, 40 masih berbincang mengenainya berikutan anaknya itu lahir lebih awal dari tarikh jangkaan.

Katanya, beliau mengalami sakit kontraksi pada jam 10 malam tadi sebelum melahirkan bayi seberat 2.2 kilogram yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

Setakat ini, lapan bayi merdeka dilahirkan di Hospital Shah Alam dengan enam daripadanya adalah bayi lelaki manakala dua lagi perempuan.

Terdahulu, Yayasan Kita Anak Malaysia hadir memberikan sumbangan hamper barangan bayi dan meraikan bayi merdeka di hospital berkenaan.

Pengarah Urusannya, Prof Madya Dr Sara Chinnasamy berkata pihaknya berterima kasih dengan hospital kerana memberi ruang kepada mereka untuk meraikan bayi merdeka sempena hari kemerdekaan negara yang ke-66, hari ini.

"Hari ini, kita menyerahkan hamper barangan bayi untuk ibu-ibu yang melahirkan bayi merdeka di Hospital Shah Alam.

"Kita juga ada menyediakan kelengkapan untuk petugas dan jururawat di wad bersalin ini kerana kita yakin pasti ada lagi ibu-ibu yang akan melahirkan anak hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 2:49 PM