GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Penjual kacang kuda didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas kesalahan memiliki lambang tatu kumpulan kongsi gelap Geng 36 dan 08, awal bulan ini.

Tertuduh, TS Nathan, 30, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pada prosiding kes di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, Nathan dapati memiliki lambang tatu kumpulan kongsi gelap Geng 36 dan 08 yang diisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang menurut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966, di Aras Dua Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada 4 Ogos lalu, jam 1.35 tengah hari.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), jika disabitkan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM15,000.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishar menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab Malek.

Wardah dalam hujahan, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah untuk menjalankan perbicaraan kes itu.

Katanya, tertuduh yang mempunyai empat anak sudah lama meninggalkan kumpulan kongsi gelap terbabit dan dalam proses menghilangkan semua tatu berkenaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan sepasukan pegawai dan anggota BSJ IPD Jasin dan hasil soal tanya dia mengaku menyertai kongsi gelap Geng 36 dan 08 dari 2019.

Hasil pemeriksaan tubuh, pakar kongsi gelap polis menemui enam lambang tatu antaranya corak sarang labah-labah dan ikan koi pada bahagian perut, tulisan 36 di lengan kanan membawa maksud Geng 36, tatu corak batik di dada sebelah kiri dan gambar harimau di belakang badannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 5:01 PM