MUHAMAD Ibrahim dibawa keluar daripada bilik mahkamah selepas perbicaraan selesai.
MUHAMAD Ibrahim dibawa keluar daripada bilik mahkamah selepas perbicaraan selesai.
Oleh Ikram Ismail

Shah Alam: Seorang pelajar sebuah kolej swasta mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan meletakkan tatu kumpulan kongsi gelap Geng 24.

Tertuduh, Muhamad Ibrahim Kader Batcha, 32, dijatuhkan hukuman denda RM2,800 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda oleh Majistret Norshakinah Ahmad.

Lelaki terbabit dituduh mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Ibrahim ditahan dalam satu operasi khas membanteras kongsi gelap pada 9 September 2013 diSeksyen 31, Kota Kemuning, di sini.

Ketika ditahan, tatu tulisan angka 24 jelas berada di bahagian belakang sebelah kiri badan tertuduh serta tatu lain berbentuk gambar.

Dia yang ditemani ahli keluarga dan isteri sarat mengandung kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Prosiding Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N Parimaalah manakala tertuduh diwakili peguam bela Ahmad Mukmin Aimi Azmi.

Ahmad Mukmin dalam rayuan memohon mahkamah supaya mengurangkan hukuman terhadap anak guamnya.

“Anak guam saya yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan separuh masa di sebelah malam, mempunyai komitmen bulanan sebanyak RM1,200 selain ini kesalahan pertamanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:26 AM