Alias Abd Rani


Muar: Tiga lelaki yang dijatuhi hukuman denda atas kesalahan merusuh menggunakan pedang samurai, sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mempunyai tatu 'burung phoenix' pada badan.

Ketiga-tiga tertuduh, Peng Wei Seng, 21, Goh Hong Jun, 19, dan Yee Wee Kiat, 18, yang bekerja sebagai penjual buah, bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca berasingan di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mempunyai tatu burung phoenix yang melambangkan 'geng Hong Hong San' yang mana ia diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta sama, dengan penjara sehingga tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ahad lalu, ketiga-tiga tertuduh ini, antara sembilan lelaki yang didakwa merusuh menggunakan pedang samurai, batang besi dan rotan berdekatan sebuah restoran di Jalan Marin, Sungai Abong, di sini.

Bagaimanapun, kesemua ahli kumpulan terbabit mengaku bersalah sebelum dijatuhi hukuman denda RM3,000 setiap seorang.

Seorang daripada ahli mereka tidak hadir ketika hari pertuduhan sebelum mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Mohammad Arif Marzuki turut mengemukakan laporan berkaitan kumpulan kongsi gelap serta gambar lakaran tatu di badan ketiga-tiga tertuduh.

Dalam hujahannya, Mohammad Arif memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal terhadap kesemua tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, Tee Xin Ran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK) yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan yang menjimatkan masa dan kos.

Selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhi hukuman denda RM1,300 setiap seorang dan boleh dipenjara sehingga enam bulan jika gagal membayarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 4:19 PM
Tiga tertuduh mempunyai tatu 'burung phoenix' didenda RM1,300 setiap seorang selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret hari ini. FOTO Alias Abd Rani
Tiga tertuduh mempunyai tatu 'burung phoenix' didenda RM1,300 setiap seorang selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret hari ini. FOTO Alias Abd Rani