Tatu pada badan dan lengan lelaki yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan kongsi gelap. FOTO Ihsan PDRM
Tatu pada badan dan lengan lelaki yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan kongsi gelap. FOTO Ihsan PDRM
Nor Farhani Che Ad


Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap di sekitar Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek berusia 28 tahun dan berasal dari Selangor itu ditahan selepas pemeriksaan fizikal terhadapnya menemui tatu dipercayai lambang sebuah kumpulan kongsi gelap.

“Suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim pada 10.30 malam ketika dia hadir untuk membuat laporan berkaitan kes pukul yang berlaku membabitkan dirinya.

“Melihatkan keadaannya yang mencurigakan, polis kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut terhadapnya dan mendapati terdapat tatu di belakang badan dan lengan sebelah kanan bertulisan sanskrit yang dipercayai adalah lambang kumpulan kongsi gelap,” katanya hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, siasatan awal mendapati suspek tidak mengaku terbabit dalam kumpulan kongsi gelap terbabit.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 56(1) dan 43 Akta Pertubuhan 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 5:09 PM